Friday, June 15, 2012

Vtwinners dimana-mana ~ Sabah Adventure



Menunggang di sabah memang sentiasa menjadi impianku dan rakan-rakan. Dengan jalinan jalanraya yang mencabar, pemandangan yang memukau, dan masyarakatnya yang berbeza dari masyarakat di semenanjung, hati terasa digaru-garu untuk menyahut cabaran negeri di bawah bayu ini. Kekerapanku menjalankan tugas di sabah, menjadikan impian tersebut sesuatu yang boleh digapai.


Alhamdulillah, akhirnya impianku dan rakan-rakan dimakbulkan Allah. Segalanya bagai diatur-atur. Kebetulan pada kali ini, tugasanku berakhir pada hari Sabtu. Maka, perancangan pun mula disusun. Kewangan diaudit, dan permit sementara dipohon dari isteri masing-masing. Kami akan tinggal di sabah satu malam lagi setelah selesai tugasan, agar kami dapat merealisasikan impian kami. Aku, Amir dan Ali akhirnya akan mencapai impian kami. Keterujaan kami segera dikongsikan dengan rakan-rakan lain di pejabat, yang disambut dengan wajah-wajah sedih kerana tak dapat ikut.

Keputusan diambil untuk menyewa motorsikal dengan sebuah syarikat yang memang terkenal di kalangan pelancong asing iaitu Go Go Sabah. Mengambil kira jarak perjalanan dan tempoh masa kami yang terhad, kami membuat keputusan untuk ride sejauh lebih kurang 290km, dari kota kinabalu ke Ranau, pusing ke Tambunan, dan kembali ke kota kinabalu, melengkapi satu pusingan perjalanan. Amir mencadangkan agar kami ke Semporna. Tapi setelah diselidiki melalui google maps, jarak sehala Kota Kinabalu ke Semporna melebihi 800km, dan dengan masa yang kami ada serta motorsikal berkuasa sederhana, cadangan Amir dibakul sampahkan.

Tiba hari yang dinantikan, kami mengambil teksi dari Novotel Hotel, 1borneo ke bandar kota kinabalu untuk mengambil motorsikal yang disewa. Helmet, glove dan keperluan-keperluan lain telah kami bawa siap-siap dari semenanjung. Selesai pemeriksaan motorsikal (KLX 150cc) kami jalankan, pengembaraan Upin dan Ipin kami pun dimulakan.



Pemeriksaan Motorsikal..
Disebalik visor helmet kami, sengihan kami meleret-leret. Laluan utama dari bandar menuju ke laluan KK-Kundasang bermula dengan lambaian pesisir pantai. Kami memilih laluan Sepanggar, kerana mengikut perancangan, kami ingin singgah di pengkalan NAVY di Sepanggar. Malangnya dalam keghairahan menunggang scrambler ( kali pertama bagiku), aku terlepas simpang ke Sepanggar. Kami selamba meneruskan perjalanan menuju Tuaran. Sebenarnya, tiada apa yang kami kejar, dan pace kami juga begitu tenang. Cahaya matahari yang terik tidak terasa kerana menunggang di tempat orang memang terasa nikmatnya. Kenderaan memang banyak, kerana laluan yang kami pilih ini merupakan laluan utama menuju ke Kundasang.

Lebih kurang setengah jam menunggang, kami pun tiba di Tamparuli. Wah! Akhirnya dapat juga kami menjejakkan kaki di tempat yang menjadi lirik popular sebuah lagu masyarakat Sabah iaitu Jambatan Tamparuli. Apa lagi, sessi penggambaran pun bermula lah. Terasa seronok, sambil bergambar, sambil menari tarian Sumazau. Agaknya orang yang lalu lalang pun naik hairan tengok 3 bikers separa umur ralit menari-nari tengah panas terik.




Amir Dan Ali

Selesai bergambar, kami pun meneruskan perjalanan. Alhamdulillah, setakat ini cuaca redup, dan udara pun segar. Nikmat sungguh. Kami meninggalkan pusat bandar semakin jauh. Kenderaan semakin kurang. Jalan lurus juga mula bengkang-bengkok. Kami melalui kampung-kampung kecil disepanjang laluan ini. Satu macam punya emosi, membangkitkan perasaan damai bercampur baur dengan keterujaan yang tak mampu diterjemahkan.

Amir semakin lama semakin laju. Aku cuba mengikut dengan rapat, tapi kemampuan tungganganku yang terhad menyebabkan aku tertinggal. Ali pula melayan perjalanan ini dengan caranya tersendiri. “korang nak jalan dulu, jalan lah. Aku nak enjoy pemandangan”, pesannya. Sesekali kufikir, betul sangat pendapat Ali tu. This is supposed to be a dream comes true. Seharusnya kami menghayati segala yang terhampar dihadapan kami.

Kami tiba di pekan Nabalu. Pekan Nabalu merupakan sebuah tempat persinggahan yang popular bagi pelancong yang menuju ke Gunung kinabalu. Pekan yang didiami majoriti masyarakat kadazandusun ini menawarkan pusat jualan cenderamata yang lengkap. Infrastrukturnya juga sempurna dengan gerai-gerai makan, tandas awam, malah terdapat sebuah menara tinjau. Di pekan ini, aku pernah singgah bersama Amir untuk makan nasi goreng suatu masa dahulu sewaktu menjalankan tugas. Maka kali ini kami singgah lagi ke gerai tersebut dan order nasi goreng dan kopi Tenom. Aduhai, nikmat tak terkata. Cuaca di sini dingin, kerana pekan ini terletak di kawasan tanah tinggi.

Mercu Tanda Pekan Nabalu
Selesai makan, kami pun meneruskan perjalanan dalam keadaan separa sedar, maklumlah, perut kenyang, mata pun mengantuk. Ditambah dengan angin dingin dari pergunungan. Cuaca semakin mendung, sedikit hujan mula turun. Oleh kerana tempat tujuan tidak terlalu jauh lagi, kami tak jadi pakai baju hujan. Tak berapa lama kemudian, kami mula sampai ke laluan Gunung Kinabalu. Puncak Kinabalu tidak kelihatan kerana kabus yang tebal. Tapi keadaan itu tak sedikitpun melemahkan semangat kami. Laluan berliku sepanjang jalan itu sendiri sudah cukup mengujakan. Kami berhenti di suatu kawasan lapang tepi gaung untuk bergambar. Papan tanda menunjukkan Gunung Kinabalu semakin hampir.


Aku Dan Ali

Selesai sebatang rokok, perjalanan diteruskan. Kami tiba di kaki Gunung Kinabalu atau lebih dikenali sebagai Kinabalu Park. Untuk memasuki kawasan ini, kita perlu membayar conservation fee sebanyak rm3.00 sahaja seorang. Ikhlaskan sahaja, kerana dengan bayaran inilah pihak kerajaan dapat memelihara dan memulihara kawasan yang diiktiraf sebagai Kawasan Warisan Dunia ( World Heritage Site) ini. Kami menunggang terus ke kawasan dimana para pendaki memulakan pendakian mereka. Malangnya kami tidak dapat berhenti lama, kerana hujan mulai turun.


Starting Point Untuk Para Pendaki



Lookout point, Gunung Kinabalu
Kami berhenti sebentar sahaja di Kinabalu Park kerana hari mulai lewat. Kami masih ada agenda yang perlu diselesaikan. Hotel penginapan untuk malam ini belum dicari. Makan malam juga belum lagi. Kami pun terus bergerak ke Kundasang untuk sesi seterusnya. Sampai di Kundasang, kami singgah di masjid untuk solat. Selesai solat, kami singgah di Hotel Heritage Kundasang. Di sini kami pernah berbengkel, dan tempatnya memang sangat cantik dan mendamaikan. Niat dihati ingin menyaksikan puncak Kinabalu dari lookout point yang ada di hotel ini. Malang sekali, awan dan kabus begitu tebal, dan kami gagal lagi mengambil foto yang diidam-idamkan. Tak apa, mungkin lain kali. Perbincangan ringkas diadakan. Kami tidak dapat buat keputusan sama ada ingin bermalam di Kundasang atau ke Ranau sahaja. Tiba-tiba Amir pula beri cadangan agar kami ke Poring Hotspring dahulu, baru buat keputusan nak tidur di mana. Bagus juga cadangan Amir tu, mungkin di sana nanti ada tilam tepi jalan yang kami boleh tidur..

Sampai di Poring, jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Aduhai, pukul 6 di Sabah ni, dah hampir maghrib bang!. Jelas sekali kami tak dapat masuk. Tak apalah, dapat tangkap gambar pun kira ok.


Satu lagi Tapak Warisan Dunia

Ok, selesai bergambar, kami pun terus menuju Ranau. Mengambil kira keesokan hari kapal terbang kami akan bertolak jam 1.40 petang, kami harus memastikan jarak perjalanan esok tidak terlalu jauh. Ini kerana kami perlu memulangkan motor di pejabat syarikat di bandar Kota Kinabalu, kemudian naik teksi balik hotel di 1Borneo, ambil barang, dan naik teksi semula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Pukul 10.00 pagi paling lewat, kami mesti sampai di Kota Kinabalu.

Sampai di Ranau, timbul masalah lain. Tak sangka, bukan main susah nak check-in hotel. Kebanyakannya penuh. Ali pula susah nak terima kalau hotel tak ada Wi-Fi. Maklumlah, susah nak update status kat Facebook. Pusing punya pusing, dapatlah satu motel. Rm78.00 satu malam. Wi-fi percuma. Bilik mandi nak masuk kena masuk punggung dulu. Jadilahhh. Malam tiba, aku dan Amir dah keletihan. Masalahnya si Ali sudah layan teh halia masa makan tadi. Sudahnya Ali tak boleh tidur. Kami biarkan saja si Ali berbual-bual dengan budak reception di depan. Entah pukul berapa baru dia tidur agaknya.

Penginapan kami di Ranau ~ Hotel Cancut

Keesokan harinya, mengikut janji, kami perlu bertolak jam 7.00 pagi. Bungkus punya bungkus, naik turun naik turun, pukul 8 pagi baru bertolak. Sarapan pun tidak. Kami jangkakan boleh bersarapan di pertengahan jalan sahaja nanti.

Amir memecut laju. Boleh tahan juga si Amir melayan selekoh-selekoh sepanjang perjalanan dari Ranau ke Tambunan. Aku dan Ali tertinggal jauh di belakang. Tangkap gambar? Memang jangan harap. Kami sudah terlewat satu jam. Tiba di satu kawasan, aku sudah tak tahan. Pemandangan jalan trunk road yang kami lalui sangat mengujakan. Aku berhenti di satu kawasan lapang. Sayup jalan berliku di hadapanku. Rupa-rupanya aku berhenti di satu kawasan tugu peringatan. Di sinilah, puluhan tahun yang lalu, tawanan perang dunia ke-2 di arak oleh tentera musuh ke kem tahanan.


Kem Tahanan Perang

Siap tangkap-tangkap gambar, pengembaraan diteruskan lagi menuju Tambunan. Mengikut perancangan kami, kami tidak akan singgah di pekan Tambunan ini. Malangnya sepanjang perjalanan ini, tiada stesen minyak yang ada. Kami terpaksa memasuki pekan Tambunan, lebih kurang 10km di luar dari laluan kami. Tak apalah, lebih baik buang masa sedikit, daripada terkandas dipertengahan jalan. Sarapan kami sudah terbang ke langit. Terlupa bahawa di Sabah ini, tidak semudah di Semenanjung untuk mencari kedai makanan halal, terutama sekali kerana kami tidak biasa dengan kawasan yang dilalui.

Kota Kinabalu ada lebih kurang 80km lagi dari sini. Kami pun meneruskan kembara dengan janji untuk tidak berhenti lagi. Selepas sebuah perkampungan, Ali tidak kelihatan lagi di cermin sisi motorsikalku. Risau juga, tetapi nampaknya Amir semakin jauh. Dalam hati teringat nak patah balik, cuma bila memikirkan Ali dah besar, dan pandai menggunakan telefon, aku teruskan sahaja perjalanan. Aku cuba mengikut Amir sedekat mungkin, tapi dia semakin hilang akal. Habis selekoh-selekoh diratahnya. Takpe, layan Mir, layan..

Alhamdulillah, lebih kurang pukul 10 pagi, kami pun tiba di bandaraya Kota Kinabalu. Kami segera memulangkan motorsikal di pejabat Go Go Sabah, dan terus mengambil teksi pulang ke hotel. Syukur kepada Allah, pengembaraan ini berjaya ditamatkan dengan selamat. Ali rupa-rupanya mengalami masalah dengan kick starter motorsikalnya. Skrunya longgar dan mengeluarkan bunyi yang mengganggu fikiran. Tapi, secara keseluruhannya kami tidak mengalami sebarang masalah. Cuma kelaparan yang teramat sangat.

Kota Kinabalu kami tinggalkan dengan penuh kepuasan. Tapi masalah menjadi seorang bikers ni ialah, kita sentiasa tidak akan merasa puas lama. Sekejap saja. Sampai sahaja di Kuala Lumpur, kepalaku dah penuh dengan perancangan seterusnya. insyaAllah, yang terkini, vtwinners akan cuba mengaturkan pengembaraan mengelilingi Sabah. Tapi sebelum itu, ride ke penjuru paling utara di Sabah, iaitu Simpang Mengayau di Kudat, The Tip Of Borneo. Nantikan kehadiran kami.

Vtwinners dimana-mana ~ ride hard...or stay home!









No comments:

Post a Comment